ini cerpen aaa, cubaan semata maa..=)
kalau ada unsur-unsur yg tak boleh ditoleransi, saya mintak maaf..hehe
Bacalah (^_^)v
**************************
Beberapa helai
rambutmu jatuh menutup sebahagian dahi. Kau, seperti biasa, membiarkan sahaja
dahimu terhias begitu, tanpa sedikit rasa rimas. Aku mula tidak senang duduk
melihat rambut itu terbuai-buai didahimu itu. Rimas? Tidak, bukan rimas. Cuma
ada rasa. Rasa itu mula bercambah dalam hati dan dengan tidak semena-mena terus
membuak-buak. Aku bangun menujumu, dengan fokus pada rambut yang berjuntai
didahi itu. Seinci lagi aku jarakku denganmu, kau lantas berpaling kearahku
dengan senyum yang meleret dibibirmu. “Haa..nak main rambut orang la tu,” dan
kau ketawa sedang aku tersipu-sipu malu.
*******************************
“Aku cinta
padamu!!!!” jeritku teruja, namun sekadar terdengar dalam jiwa. Pagi yang indah
ini terasa berjuta-juta kali lebih nyaman daripada biasa. Sejak seminggu ini,
aku senyum terlebih gula. Aku gembira berganda-ganda. Aku ceria
seceria-cerianya. Sebaik sahaja kubuka mata, menyapa dingin pagi, wajahmu yang
utama ku cari-cari. Pagi ini, kau sudah di meja makan untuk sarapan. Aku
menyimpan sedikit senyum, agar tidak begitu terlihat. Biarpun senyum yang
terzahir ini seakan-akan mampu merobek pinggir bibir. Kau kuhampiri. Aku
menyapa dengan tenang dan manja, tentunya.
“Qiqi!” kau
memanggil nama manjaku mesra. Hatiku berbunga, senang sekali dengan nama itu.
Dengan hanya mendengar bibirmu menyebut nama itu sudah mampu buat aku
keriangan. Aku mendongak seketika memandang wajahmu, mencari anak matamu. Namun
tidak lama, aku malu! Kau membawa aku keribamu. Senyum terhias dibibirmu yang
indah. Kau dekatkan bibir indah itu ke dahiku. Aku terasa diri bagai dididih.
Panas! Bergelora! Tetapi nyaman sekali. Bahagia sekali.
“Qiqi dah
makan? Meh sarapan sekali meh,” kau bertanya ramah sambil cuba-cuba menyuap
sarapan berupa nasi lemak itu ke mulutku. Sungguh aku malu diperlaku begitu.
Dihadapan ibumu pula, yang sama-sama bersarapan dimeja itu. Aku mahu sahaja
membuka mulutku biarpun aku kurang senang bersarapan nasi lemak, namun fitrah
maluku membuat aku diam sahaja dengan tindakanmu menyuapku itu.
“Farhan,
kesian dia. Jangan suaplah. Bukan dia makan nasi lemak tu. Mama dah sediakan
sarapan dia kat belakang nu,” ibumu Puan Suria bersuara. Aku kekal tunduk.
Malu! Kau lepaskan aku perlahan-lahan, akur pada pandangan mata ibumu yang seperti
kurang senang itu. Itulah, salah tempat mahu bermanja! Aku berlari anak ke
belakang. Sampai dimuka pintu yang memisahkan ruang makan dan ruang belakang
itu, aku menoleh mencari wajahmu sambil kuhadiahkan senyuman dan jelingan
manja, khas buatmu. Kau tersenyum, membalas.
***************************
“Sayang....”
Aku diam.
Sengaja. Terdengar kau ketawa kecil.
Tanganmu
membelai-belai tubuhku. Sesekali, terasa dagumu menyentuh ubun-ubunku, kau
gesel dengan lembut. Aku diam sahaja dalam pelukanmu. Menikmati sungguh-sungguh
saat bermanja begini denganmu. Kau capai tanganku, memerhati kuku-kukuku. Sejuk
tapak tanganku terasa berhaba bila bersentuh dengan telapak tanganmu yang
hangat. Gelora memuncak didalam dada. Aku sedar kau merasai gelora itu. Masakan
tidak! Dadaku yang berombak itu letaknya diatas dadamu sahaja. Namun kau nyata
tenang. Mata kau tala terus pada skrin televisyen biarpun tanganmu tidak duduk
diam membelai terus tubuhku. Aku terbuai hingga terus terlena. Bahagia.
*******************************
Pagi yang
cerah tidak menjamin cuaca indah hingga ke petang. Awan-awan tipis dilangit
perlahan-lahan diganti dengan awan hitam nan tebal.
Resah. Engkau
tiada dimana-mana. Ruang televisyen, ruang makan, bilik tidur, sudut bacaan,
hatta seluruh ruang rumah sudah puas kugeledahi. Hati sebak dan sebal. Hujan
mula turun, airmataku jua begitu, cuma tidak terzahir di tubir mata. Sekadar
terbuku didada. Mana kau? Mana? Kau hilang lagikah? Ya, seperti kau pernah
hilang setahun yang lalu? Jua tanpa segamit kata kali ini? Sekali dahulu kau
tegar meninggalkan aku sekian lama dalam pilu dan rindu. Kau tegar kembali bersayang-mesra
denganku tanpa terungkit kisah lama itu. Kini, kau tegar meninggalkan aku
sekali lagi? Tegarkah kau?
Dan ternyata
kau tegar. Panggilan telefon daripadamu sampai kerumah lewat malam itu. Aku
yang seharian bersendu dalam keliru tersentak mendengar cerianya suaramu di
corong telefon itu. Kau khabarkan kepada ibumu kau selamat sampai ke kampus
pengajianmu di ibu kota. Kau bergelak ketawa, kau bergurau senda. Tanpa sedar,
langkah ku atur perlahan-lahan menghampiri Puan Suria yang sedang ceria
berlawan cakap denganmu di gagang telefon itu.
“Eh, Qiqi.. “
Puan Suria menegurku yang bergesel dikakinya.
“Ha, Farhan,
ni..kesian Qiqi kau ni. Rindukan kau agaknya ni. Dari petang tadi lagi
mengiau-ngiau depan bilik kau tu..haha..tidur pun kat situ tadi ni..haha.. ,”
Puan Suria mengangkat aku ke ribanya. Puan Suria mengosok lembut kepalaku.
“Ye ke, mama?
Haha..lawaklah mama ni. Pandai pulak kucing nak rindu-rindu ni.. haha..” kau
ketawa. Aku terasa hiba tiba-tiba. Terasa perkhabaran aku rindu itu hanya
mainan semata buatmu sedang aku disini sememangnya benar-benar rindu pada kau.
Puan Suria masih membelaiku sambil terus berbual-bual denganmu. Aku tidak lagi
memasang telinga pada bual bicaramu. Aku sebak. Aku beredar dari ribaan Puan
Suria. Berlari-lari anak ke bawah tangga, tempat tidurku yang biasa.
Rindu ini,
salahkah kucurahkan buatmu? Hanya kau yang aku sayang di dunia ini. Aku bukan
mengharap apa-apa. Hanya perhatian dan belaianmu. Setahun lalu, tika kali
pertama kau tinggalkan rumah untuk menginap di asrama, kau pergi tanpa pamitan.
Tergamak kau pulang ke asramamu tanpa pamitan sedikitpun kepadaku sekali lagi? Kau
persoalkan adakah aku faham akan bicaramu, namun pernahkah kau cuba
memberitahuku?
Ya, aku sedar
aku seekor kucing. Apa salahkah kucing beremosi?? Meowww!