**************
hari ini...
16
Disember
Nombor telefon bimbit Lutfi di skrin dia renung
dalam-dalam. Aishah sebak. Sebaik pulang dari Tanjung Piai hari itu, Lutfi
terus membisu. Lutfi seolah-olah mengawalkan kedatangan tarikh 17 Disember
dimana mereka berjanji untuk memutuskan perhubungan. Tidak mahu lagi ber-SMS
kosong tanpa tujuan, panggilan semata-mata mahu mendengar suara, keluar
berdua-duaan dan seumpamanya yang dilazimi pasangan bercinta. Sudahlah berjumpa
di kuliah juga jarang sekali, diseksa pula dengan senyap tiba-tiba sebelum diri
betul-betul bersedia, dia terasa hebat dikecam rindu. Sakit, pedih. Namun,
untuk menarik semula kata-katanya, tidak akan sesekali.
Dia beristighfar demi menenangkan diri. Dipujuk hatinya
supaya bertenang dan berkali-kali dia mengulang bahawa inilah latihan untuk
menghadapi hari-hari sebenar selepas 17 Disember nanti. Mindanya cuba
difokuskan pada kerja-kerja kuliahnya. Buat beberapa ketika, dia berjaya. Seketika
yang lain, air matanya gugur jua. Dipujuk hati dengan doa. Ya Allah, jaga
hatiku, jaga hatinya. Kami mahu mencapai redha-Mu. Dimarah diri dengan kecaman.
Bagaimana mungkin hati begitu rapuh, terjatuh suka pada si dia dalam tempoh
sesingkat itu. Kotor sungguh!
Nasib baik juga dia berada dirumah hari ini, berhujung
minggu. Sengaja mahu lari dari kampus.
Sengaja mahu berjauhan dari Lutfi, sang pencuri hati. Andai rindu
mengetuk, sebak bertandang, dia mendapatkan ibunya. Bergurau dan bermesra
dengan ibu menenangkan hatinya. Ibu yang arif perihal jiwa anaknya itu begitu
bijak pula menghiburkan.
“Hmm..ibu
rasa nak bagi suasana baru la untuk Cha. Mari kita renovate hiasan dalam rumah
kita ni, nak? Cha kan hebat ni susun-susun atur ni,” mesra sekali Pn. Nafisah
dengan anak sulungnya itu.
Maka bermulalah kerja-kerja mengemas dan menyusun atur
perabot. Jiwa yang berkecamuk memang mujarab diubati dengan senaman dan gerakan
fizikal. Aishah bermandi peluh mengalih almari dan sofa di ruang tamu.
Anak-anak Puan Nafisah yang lain pada awalnya melihat sahaja tiba-tiba turut
serta dalam pembikinan ruang tamu baru itu. Ruang tampak lebih luas dengan
susunan terbaru ini. Aishah puas, Puan Nafisah dan adik-adiknya juga keriangan.
“Baiklah,
demi meraikan kejayaan kita pada hari ini, ibu nak masak special untuk semua
orang. Malam ni kita makan......” Puan Nafisah sengaja mengusap-usap dagu
seolah-olah berfikir menu teristimewa yang mahu dimasaknya.
“Mee goreng basah!!!” Serentak anak-anaknya
menjawab. Mereka ketawa keriangan.
“Ibu,
kenapa ibu masak banyak sangat ni? Kita ada tetamu ke malam ni?” soal Aishah
apabila diminta mengeluarkan dan merendam mee kuning. Ada tiga bungkus mee
kuning yang diminta direndam oleh ibunya sedangkan kebiasaanya hanya satu
bungkus sahaja sudah mengcukupi buat keluarga mereka.
“Oh,
iya iya. Lupa pula ibu. Memang malam ini kita ada tetamu. Nanti lepas Cha dah
tolong rendam mee tu, tolong basuh, Cha pergi mandi ya. Bersiap-siap, dah nak
masuk Maghrib ni. Tak perlu tolong ibu lagi dah. Lagipun ibu cuti, ok?” pesan
Puan Nafisah sambil tangannya cekap memasukkan sos tiram kedalam rencah mee
goreng basah kegemaran anak-anaknya.
Aishah
akur lalu beredar ke biliknya. Digamit adik-adiknya supaya sama-sama mandi dan
bersiap untuk solat Maghrib berjemaah. Usai solat, Aishah kembali ke dapur demi
menyambung ibunya memasak namun nampaknya ibu begitu cekap sehingga semuanya
sudah sedia terhidang.
“Cha,
mari sini dekat ibu,” Puan Nafisah muncul di belakang Aishah. Sepasang busana
ringkas tetapi indah, sepasang baju kurung putih yang dijenjeng ibunya mencuri pandangan Aishah. Aishah beriak wajah hairan namun tersenyum
juga pada ibunya.
“Nanti,
Cha solat Isyak, lepas tu, tukar pakai baju ni, ya?” Aishah tambah hairan.
Namun lidahnya tidak bertanya apa-apa. Hanya tidak lepas memandang ibunya
dengan pandangan kosong.
“Malam
ni, tetamu ibu itu, datang dari Gombak. Sebuah rombongan meminang yang membawa
hajat menyunting Siti Aishah binti Muhammad, anak ibu yang cantik ini,” senyum
Puan Nafisah meleret dan matanya berkaca-kaca.
“Ibu...”
“Malam
ni, Lutfi datang. Lutfi bawa keluarganya juga. Lutfi minta ibu rahsiakan. Cha
marah ibu? Maafkan ibu...” mata Puan Nafisah sudah basah. Dihampiri anaknya itu
lalu dirangkul erat-erat.
“Ibu....”
Aishah tenggelam dalam tangis dipeluk ibu, dibanjiri syukur dalam jiwa.
Awak,
nakal sungguh! Aishah menangis dan menangis, juga tersenyum dalam tangisnya.
Apa akan jadi pada kita selepas tarikh 17
Disember nanti?
****selesai*****