Wednesday 5 December 2012

17 Disember (Bah. 2)




 ****

Taman Negara Tanjung Piai agak meriah petang itu. Kelihatan sebuah keluarga baharu sahaja selesai membeli tiket di kaunter sebelum dia dan Lutfi pula menyusul. Sedangkan di bahagian dalam melepasi kaunter terdapat beberapa orang remaja perempuan sedang bergambar dengan tugu batu mercu tanda Tanjung Piai. Girang sekali. Kelihatan juga beberapa orang kanak-kanak berlari-lari menaiki tangga. Ceria dan gembira. Aishah tersenyum dengan permandangan itu, terhibur atau mungkin juga sengaja mencari hiburan buat hati yang gundah gelana.

“Jom, kita masuk,” Lutfi menghulur sekeping tiket kepadanya diiringi senyum dibibir. Dia mengangguk dan menyaingi langkah Lutfi ke pintu masuk. 

                Latar hutan paya bakau tersaji di pandangan. Lutfi kekal ceria dan tenang. Mulutnya rancak bercerita persis seorang pemandu pelancong. Sesekali mereka berhenti ditengah-tengah laluan untuk melihat sebentar ke dalam kawasan paya dibawah laluan. Sesekali mereka berhenti pula untuk membaca maklumat tentang paya bakau dan spesis-spesis bintang yang menghuni kawasan itu yang  tersedia disepanjang laluan. 

Permandangan hutan yang hijau dan bau laut itu seolah-olah membawa pergi kegundahan hati Aishah sedikit demi sedikit. Keterujaan mula mengisi ruang hati Aishah. Mulutnya turut mula bertanya itu ini kepada ‘pemandu pelancong’ kehormatnya, Encik Lutfi. Keadaannya tidak ubah seperti kebanyakkan kanak-kanak yang turut berada disitu. Aishah menjadi lupa akan resah hatinya yang dibawa dari kampus tadi, resah yang menemani satu jam perjalanan tadi. Semuanya bertukar serta-merta. Aishah kini ketawa, teruja dan ceria. Dan kini, Lutfi pula yang tersenyum dalam. “Awak, awak...saya senang sekali melihat awak begini...teruslah menjadi dirimu yang ceria ini, awak..” monolog hati Lutfi.

Mereka sampai ke penghujung laluan, seolah-olah sebuah jeti. Laut lepas terbentang didepan mata. Bayu laut menghembus lembut, membelai wajah. Kain tudung Aishah terbuai-buai mengikut alunan bayu. Dia duduk di bangku panjang yang tersedia, merenung laut dengan senyum dibibir. Lutfi turut sama duduk dibangku itu, dihujung yang bertentangan, bersandar ditiang, menghadap Aishah. Sedang dia berkira-kira memulakan bicara, Aishah berpaling ke arahnya. Pandangan mereka bersatu, tidak lama. Masing-masing melarikan mata ketengah laut serentak lalu ketawa. 

“Awak, saya senang dengan awak,” luah Lutfi, telus.
“Iya? Semoga awak kekal senang dengan saya,” Aishah senyum tipis.

“Tapi..apa akan jadi pada kita selepas 17 Disember ini?” Jeda.
“Awak, kalaupun kita tidak akan pernah sampai ke ikatan nikah, semoga awak kekal senang dengan saya, boleh?” 

“Awak tak rasa terburu-buru?”
“Saya tak mahu buang masa.”

“Jadi sekarang kita sedang buang masa lah ya?”
“Terpulang pada awak untuk menilai. Pada saya, saya mahu tempoh sebulan ini sahaja untuk berkenalan dengan awak seperti cara mereka. Sebab itu saya meletak tarikh 17 Disember tu.”

“Cara mereka?”
“Hmm...couple. Budaya zaman sekarang tu. Berkenalan, berkawan-kawan, teman tapi mesra. Apa-apalah. Awak rasa cara ini maniskah? Tidak, bukan? Keluar berdua-duaan, walaupun duduk berjarak begini, masih tidak begitu indah. Ber-SMS, call, dan sebagainya. Saya tidak senang begitu.”

“Kenapa pula sebulan ini awak benarkan diri begitu?”
“Karat jahiliah?” Aishah ketawa. Sejurus kemudian dia menyambung.
“Saya baru mahu mengenal agama..semula. Sekian lama terlambung dalam arus masa, saya lupa, lalai, alpa. Maaf, awak bukan lelaki pertama dalam hati saya. Pernah dahulu saya bercinta, ber’couple’. Malang semuanya membuahkan kecewa. Tapi, zaman bercinta itu, memang terasa indah sungguh. Itulah yang masih belum berjaya disisih sepenuhya tu. Itulah karat jahiliah tu. Maafkan saya,” terdengar keluhan kecil mengiringi penghujung ayat itu. 

“Kalau kita bernikah, mampukah kita sebenarnya? Bukankah kita masing-masing masih seorang mahasiswa? Saya mahu beri awak makan apa? Lagipun, saya mahu berbakti kepada orang tua saya dahulu. Adik-adik saya juga,”
“Kenapa? Kalaupun kita kahwin, awak tidak boleh berbakti kepada merekakah?”

“Bukan begitu. Tapi, tidak sepenuhnya. Mestilah fokus saya mencapah antara awak, sang isteri dan keluarga. Saya ada cita-cita yang mahu dicapai juga,”
“Kalau begitu, mengapa memulakan?” suara Aishah bergetar menahan emosi.
“Kenapa awak menghampiri saya, mengucap suka akan saya, mengula-gulakan saya jika tiada niat memperisterikan saya?”

“Bukan begitu. Cuma, terlalu awal.”
“Bukan sekarang lah yang saya mahu kita bernikah. Saya beri tempoh setahun juga, kan?”

“Masih terlalu awal juga,”
“Baik. Kerana itu saya mahu tangguhkan lagi. Sehingga tidak awal lagi. 17 Disember ini, kita berhentilah daripada begini.”

“Kenapa awak mahu menyeksa diri?”
“Saya fikir dengan begitulah saya mahu menjaga diri, menjaga hati,”

“Jangan buat seperti saya tiada hati, tiada perasaan.”
“Belum masanya kan, terlalu awal juga untuk hati-hati kita punya rasa kalau kita belum mahu bernikah.”

“Awak sukakan saya, kan?” Lutfi bertanya nakal, sengaja mahu mengendurkan suasana yang menghampiri ketegangan.
“Ya. Jangan tanya banyak kali lah!” Aishah membentak kecil sambil memuncungkan bibirnya.
“Apa akan jadi pada kita selepas 17 Disember nanti...?”

Soalan yang sentiasa berlegar-legar tanpa jawapan pasti.


.....bersambung.....

No comments:

Post a Comment