Wednesday 5 December 2012

17 Disember (Akhir)




 **************

hari ini...
16 Disember

Nombor telefon bimbit Lutfi di skrin dia renung dalam-dalam. Aishah sebak. Sebaik pulang dari Tanjung Piai hari itu, Lutfi terus membisu. Lutfi seolah-olah mengawalkan kedatangan tarikh 17 Disember dimana mereka berjanji untuk memutuskan perhubungan. Tidak mahu lagi ber-SMS kosong tanpa tujuan, panggilan semata-mata mahu mendengar suara, keluar berdua-duaan dan seumpamanya yang dilazimi pasangan bercinta. Sudahlah berjumpa di kuliah juga jarang sekali, diseksa pula dengan senyap tiba-tiba sebelum diri betul-betul bersedia, dia terasa hebat dikecam rindu. Sakit, pedih. Namun, untuk menarik semula kata-katanya, tidak akan sesekali.

Dia beristighfar demi menenangkan diri. Dipujuk hatinya supaya bertenang dan berkali-kali dia mengulang bahawa inilah latihan untuk menghadapi hari-hari sebenar selepas 17 Disember nanti. Mindanya cuba difokuskan pada kerja-kerja kuliahnya. Buat beberapa ketika, dia berjaya. Seketika yang lain, air matanya gugur jua. Dipujuk hati dengan doa. Ya Allah, jaga hatiku, jaga hatinya. Kami mahu mencapai redha-Mu. Dimarah diri dengan kecaman. Bagaimana mungkin hati begitu rapuh, terjatuh suka pada si dia dalam tempoh sesingkat itu. Kotor sungguh!

Nasib baik juga dia berada dirumah hari ini, berhujung minggu. Sengaja mahu lari dari kampus.  Sengaja mahu berjauhan dari Lutfi, sang pencuri hati. Andai rindu mengetuk, sebak bertandang, dia mendapatkan ibunya. Bergurau dan bermesra dengan ibu menenangkan hatinya. Ibu yang arif perihal jiwa anaknya itu begitu bijak pula menghiburkan. 

“Hmm..ibu rasa nak bagi suasana baru la untuk Cha. Mari kita renovate  hiasan dalam rumah kita ni, nak? Cha kan hebat ni susun-susun atur ni,” mesra sekali Pn. Nafisah dengan anak sulungnya itu. 

Maka bermulalah kerja-kerja mengemas dan menyusun atur perabot. Jiwa yang berkecamuk memang mujarab diubati dengan senaman dan gerakan fizikal. Aishah bermandi peluh mengalih almari dan sofa di ruang tamu. Anak-anak Puan Nafisah yang lain pada awalnya melihat sahaja tiba-tiba turut serta dalam pembikinan ruang tamu baru itu. Ruang tampak lebih luas dengan susunan terbaru ini. Aishah puas, Puan Nafisah dan adik-adiknya juga keriangan.

“Baiklah, demi meraikan kejayaan kita pada hari ini, ibu nak masak special untuk semua orang. Malam ni kita makan......” Puan Nafisah sengaja mengusap-usap dagu seolah-olah berfikir menu teristimewa yang mahu dimasaknya.
“Mee goreng basah!!!” Serentak anak-anaknya menjawab. Mereka ketawa keriangan.


“Ibu, kenapa ibu masak banyak sangat ni? Kita ada tetamu ke malam ni?” soal Aishah apabila diminta mengeluarkan dan merendam mee kuning. Ada tiga bungkus mee kuning yang diminta direndam oleh ibunya sedangkan kebiasaanya hanya satu bungkus sahaja sudah mengcukupi buat keluarga mereka. 

“Oh, iya iya. Lupa pula ibu. Memang malam ini kita ada tetamu. Nanti lepas Cha dah tolong rendam mee tu, tolong basuh, Cha pergi mandi ya. Bersiap-siap, dah nak masuk Maghrib ni. Tak perlu tolong ibu lagi dah. Lagipun ibu cuti, ok?” pesan Puan Nafisah sambil tangannya cekap memasukkan sos tiram kedalam rencah mee goreng basah kegemaran anak-anaknya.

Aishah akur lalu beredar ke biliknya. Digamit adik-adiknya supaya sama-sama mandi dan bersiap untuk solat Maghrib berjemaah. Usai solat, Aishah kembali ke dapur demi menyambung ibunya memasak namun nampaknya ibu begitu cekap sehingga semuanya sudah sedia terhidang. 

“Cha, mari sini dekat ibu,” Puan Nafisah muncul di belakang Aishah. Sepasang busana ringkas tetapi indah, sepasang baju kurung putih yang dijenjeng  ibunya mencuri pandangan Aishah.  Aishah beriak wajah hairan namun tersenyum juga pada ibunya.
“Nanti, Cha solat Isyak, lepas tu, tukar pakai baju ni, ya?” Aishah tambah hairan. Namun lidahnya tidak bertanya apa-apa. Hanya tidak lepas memandang ibunya dengan pandangan kosong.
“Malam ni, tetamu ibu itu, datang dari Gombak. Sebuah rombongan meminang yang membawa hajat menyunting Siti Aishah binti Muhammad, anak ibu yang cantik ini,” senyum Puan Nafisah meleret dan matanya berkaca-kaca.
“Ibu...”
“Malam ni, Lutfi datang. Lutfi bawa keluarganya juga. Lutfi minta ibu rahsiakan. Cha marah ibu? Maafkan ibu...” mata Puan Nafisah sudah basah. Dihampiri anaknya itu lalu dirangkul erat-erat.
“Ibu....” Aishah tenggelam dalam tangis dipeluk ibu, dibanjiri syukur dalam jiwa. 

Awak, nakal sungguh! Aishah menangis dan menangis, juga tersenyum dalam tangisnya.

Apa akan jadi pada kita selepas tarikh 17 Disember nanti?
               

****selesai*****

1 comment:

  1. Nice.. menarik!
    Pengakhirannya juga sebuah persoalan..
    Moga jawapannya indah! Hehehe..

    ReplyDelete