Di taman kayangan sebuah istana di Dunia Metafora itu, Saya duduk santai sambil memerhati puteri-puteri kayangan bermain di taman. Puteri Jingga dan Puteri Perang, ditemani kanda sulung mereka, Tun Utama. Sudah semestinya mata lebih terarah pada si Jingga....
Tiba-tiba, sekonyong-konyong Puteri Jingga terbang menonong dari padang permainan menuju kamar kecilnya. Berjurai-jurai di tubir mata bundarnya titis-titis jernih, mengalir merentas pipi.
Tun Utama kaget. Saya juga. Apa yang berlaku? Apa?? Kenapa wajah yang sentiasa manis dengan senyum bergula itu tiba-tiba disimbah suam airmata? Saya hampiri pintu kamar. Tiada terdengar suara Puteri dari dalam, sekadar suara Ibu Peri yang lembut memujuk. Tun Utama mendekat juga. Sang Puteri teresak sedikit, kesan suara pujuk Tun Utama. Ditenangkan lagi oleh Ibu Peri. Sekujur Tun Utama beredar, Saya kekal di situ dengan beban soal yang pelbagai.
Tidak lama, Puteri Jingga dipimpin Ibu Peri beransur keluar dari kamar. Namun bukan taman kayangan tempat yang mereka tujui. Oh, Ibu Peri bawa Puteri memetik bunga bagi merawat tangisnya. Sedang Puteri menikmati indahnya bunga-bunga, Saya dekati Ibu Peri.
“Ibu, kenapa dengan Puteri Jingga? Saya lihat dia seperti berduka cita. Atau mungkin juga dia tidak selesa di mana bahagian badannya? Erkk..tidak bermakna apa Ibu, Saya bertanya sekadar gusar...”Ibu Peri yang tenang lagi lemah lembut itu tersenyum.
“Hmm..tiada apa-apa yang besar anak muda. Puteri Jingga begitulah penyakitnya bila tiba bulan purnama. Cengeng...” luah Ibu Peri berulam senyum di bibirnya.
"Cengeng kenapa pula Ibu?"
"Ah...itulah. Ayahanda Puteri melarang Puteri bermain sesuka hati tadi. Memanglah Puteri itu. Kalau tiada suara yang mampu diucapkan, terucap dengan airmatalah jadinya. Salah Puteri itu ada, tapi Ayahanda silap juga, bukan mahu berusul periksa sebelum bersuara..."
Saya matikan soal disitu. Mata terus memerhati si Puteri. Senyum kembali menghias bibirnya. Dihadiahkan satu yang paling manis untuk saya. Ibu Peri memimpin Puteri ke tengah taman semula. Puteri Perang dan Tun Utama berlapang dada semula. Mereka kembali bercanda ria, gilang-gemilang.
Cengeng...benarkah? Cukup sekadar kata-kata Ayahanda kah yang menjemput titis-titis jernih itu? Ada yang Ibu Peri sembunyikan daripada Saya. Saya pasti...kerana Saya sudah sekian lama memerhati Sang Puteri, si jantung hati...
Puteriku, betapa walang pun hatimu, Saya ada disini untuk kamu. Kembangkanlah sayapmu terus, capailah bahagiamu..di duniamu, didunia kita...
No comments:
Post a Comment